Saturday, 31 March 2012

so called pre-jihad?


Ia satu pengalaman. Ya, pengalaman yang amat sukar untuk dilupakan. Satu proses tarbiyah diri, mengukur keyakinan diri pada jalan tarbiyah, dakwah dan jihad ini. “Al Jihadu Sabiluna”; kata-kata ini yang sering dinyanyikan dengan penuh semangat, yang sering dipilih lagunya sebagai lagu tema, akhirnya menjadi saksi buat kami; adakah ia benar akan dibuktikan dengan amalan mahupun tidak.  

Pengetahuan tentang Global March to Jerusalem (GM2J) ini sampai kepadaku sebulan sebelum benar-benar ia berlangsung. Pertama kali aku mendengar, hammasah mudaku meronta-ronta ingin pergi. Manakan tidak, sejak kali pertama aku jatuh cinta pada tarbiyah ini, sejak itulah Palestin, bumi barakah itu mendapat tempat dalam hatiku.

Siapa yang tidak tahu tentang Palestin? Bumi yang penuh dengan kesengsaraan, kata orang-orang bukan Palestin. Bumi yang penuh dengan penderitaan, bumi yang penuh dengan kekejaman dan penafian hak. Itu kata-kata orang yang melihat, belum lagi orang yang berada dan benar-benar merasainya. Tetapi lain sungguh yang dijawab oleh orang Palestin ketika kita ingin menghulurkan bantuan kepada mereka, kata mereka, “Jangan risau dengan kami, kerana kami mati sebagai syuhada’, risaulah dengan keadaan bangsamu, ummat diluar sana yang masih belum faham tentang Islam”. Dalam keadaan yang sungguh menyedihkan di dalam bumi itu, mereka masih mampu memikirkan tentang keadaan ummat di luar yang sangat memerlukan bimbingan. “Itulah tugas kamu, sampaikan salam kami kepada mereka!”, sambungnya.

Tarikh keramat 30 Mac 1976, 36 tahun lepas, berlaku satu peristiwa yang sungguh menguji saudara kita di Palestin. Setelah Nakbah pertama 1948 dan Nakbah kedua 1967, kali ini menjadi peristiwa sejarah hitam buat kita, ummat Islam sebenarnya. Tanah ummat Islam, bermakna itulah tanah kita juga. Dan kita hanyalah diam membisu, mengia tidak, menidak pun tidak tentang perkara ini. Akhirnya tinggallah perjuangan bumi Palestin ini tampak kepunyaan orang-orang berkadpengenalan Palestin sahaja. Oh, sungguh di akhirat nanti kita akan ditanya di hadapan Allah, bersaksikan orang Palestin!

Sehari sebelum memberi nama kepada untuk menyertai GM2J, aku bermuhasabah, mohon hidayah Allah, bertanya kembali kepada diri, “Adakah benar niatku ini ingin menyertai GM2J kerana Engkau ya Allah?”
Malam sebelum bertolak, kami berkumpul bersama-sama. Terlihat di wajah sahabat-sahabat yang ingin menjawab dihadapan Allah kelak bahawa dia sudah berbuatu sesuatu untuk Palestin, sama seperti burung kecik yang menyimbah air ke arah api yang membakar Nabi Ibrahim. “Air yang setitis engkau bahawa pastinya tidak dapat memadamkan api Ibrahim. Sebelum engkau sampai lagi air itu sudah jatuh ke bumi!” Burung kecil itu ditertawakan oleh mereka-mereka yang nampak usaha kecil si burung, tetapi mudah sahaja jawapan si burung, “Supaya nanti aku mampu jawab di hadapan Allah dan melepaskan diri dari api neraka bahawa aku telah berbuat sesuatu!”. Seperti itulah kami, mahukan sesuatu untuk menjawab pada Allah, bahawa kami telah berbuat sesuatu untuk membebaskan Palestin. 

Sungguh banyak amalan-amalan yang tampak kecil, tetapi menjadi besar di sisi Allah kerana keikhlasannya. Dan sungguh banyak amalan-amalan yang tampak besar, tetapi menjadi kecil di sisi Allah kerana niat yang salah.


Selepas itu kami membahagi-bahagikan tugasan supaya semua yang menyertai terlibat secara langsung untuk menjayakan GM2J ini. Beberapa akhawat yang tidak dapat menyertainya kerana terdapat beberapa halangan turut membantu, terutamanya bahagian memasak. Mereka kata, mereka ingin menjadi seperti Asma’ binti Abu Bakar, wanita yang menghantar makanan kepada Abu Bakar ra dan Rasulullah saw sepanjang penghijrahan Baginda dan sahabat As-Siddiq ke Madinah. Sungguh kami terharu, dan inilah jawapan yang mereka ingin jawab dihadapan Allah kelak. Sepanjang GM2J juga, kami mewajibkan ke atas diri kami untuk memperbanyakkan istighfar, selawat dan memperbaharui niat. Takut-takut amalan kami tidak diterima hanya kerana pada pertengahan amalan itu, niat kami tersasar.

bersambung..