Wednesday 29 September 2010

Kembali

Dia melepaskan dirinya daripada tempat tidur itu. Perlahan-lahan. Dengan harapan, apabila dia kembali, segala kekeliruan, masalah dan segala yang menyerabutkan kepalanya dapat dirungkai. Sudah beberapa hari perkara-perkara itu memberatkan kepalanya.

Dia menuju ke bilik air, bergerak ke arah sinki. Ambil wudhu, sebaik-baik penyegar, penyejuk, pembersih dan penenang. Itu sebabnya Rasulullah suruh orang yang tengah marah supaya ambul wudhu'. Selesai mengambil wudhu',  dia mengambil telekungnya dan menyarungnya. Rasa selamat dan terjaga.

Tanpa melengahkan masa, dia terus berdiri di kaki sejadah yang sudah memang tersedia bila-bila masa ditempat solatnya. Menghadirkan diri pada Rabbnya, takbir diangkat dan dia terus-terusan mengalunkan kalam-Nya, mengadu pada yang Esa. Ya, solat itulah sebaik-baik tempat dan waktu untuk mengadu, menenangkan diri dan menguatkan hati.

-----------------------------------------

Salam diberikan ke kanan, kemudian ke kiri bahu tanda selesai solatnya. Ameen ya Rabb..

-----------------------------------------

Dia memandang tepat pada sesuatu di atas mejanya, itulah al-Quran. Kalam Allah itu diambil, dengan harapan dan keyakinan, ada jawapan tersirat di sebalik helaian-helaian itu. al-Quran, manual yang Allah hadiahkan kepada hamba-Nya. Sebaik-baik tempat mencari jawapan. Sebab itu Rasulullah pernah bersabda bahawa umatnya tidak akan sesat selagi mana berpegang kepada dua ini iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Dia berfikir sejenak tentang mereka-mereka yang malas TnT, tilawah dan tadabbur kalam Allah itu. Sudah diberi jalan menemui jawapan, kenapa tidak diambil?


Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku. [Taha, 25]


Wednesday 1 September 2010

Book Reviews: Imam Syafie Pejuang Kebenaran



Salam Ramadhan. Selamat memburu Lailatul Qadar. Adapun mereka yakin malam 27 Ramadhan itulah lailatul qadar, adapun mereka kata pada malam 29 Ramadhan tahun ini, namun sesungguhnya tiada apa yang sempurna melainkan Allah yang Maha Sempurna. Tidak perlu berkira dalam berbuat ibadah kerana itu memang tugas kita. Ya benar kita akan dimasukkan syurga kerana rahmat Allah bukan kerana ibadah dan pahala kita, jadi beribadahlah untuk mencari rahmat Allah :)


Buku seterusnya selepas Denyut Kasih Medik adalah Imam Syafie: Pejuang Kebenaran. Seronok sangat baca sehinggakan flight balik ke Malaysia dipenuhi dengan membaca buku ini. Sudah tamat membaca beberapa hari yang lalu, baru hari ini terasa inagt membuat sedikit review supaya apa yang dibaca tidak lupa dan hilang. 


*Imam Syafie, imam yang paling ramai pengikutnye mungkin kerana beliau drpd keluarga Quraisy yang nasabnya berkait dgn Rasulullah s.a.w. Dilahirkan di kota Ghazzah, Palestin pada tahun 150H. Pada malam beliau dilahirkan, dikatakan bahawa Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia di dalam penjara kerana diracun oleh Khalifah al-Mansur. Imam Syafie meninggal dunia kerana penyakit buasir. Ini kerana hidup beliau penuh dengan ibadah kepada Allah dan menyebarkan ilmu. Apabila ada orang menasihati beliau supaya duduk melunjur dan kurangkan berdiri, beliau akan berkata, "Tidak sopan untuk sesorang itu melunjurkan kaki di dalam masjid dan sesungguhnya aku berasa nikmat apabila dapat mendirikan ibadah solat dengan berdiri".


*Kehebatan Imam Syafie:

-hafal al-Quran sejak berumur 9 tahun.
-hafal keseluruhan kitab al-Muwatta' karangan Imam Malik pada umur 15 tahun, pada ketika itu beliau belum lagi berguru dgn Imam Malik.
-menghafal 10 000 rangkap syair. "Apabila seseorang itu pandai menulis syair, kata-katanya juga menyebabkan orang yang mendengarnya mudah faham"
-berguru dengan Imam Malik dan anak murid Imam Abu Hanifah, maksudnya beliau sudah mengkaji kedua-dua mazhab sebelum mengeluarkan ijtihad beliau sendiri.


*Sedikit sedutan ringkas drpd buku ini:



                                      ******************************************

 "Anakku, tiga hari kamu berada di rumah ini adalah terlalu lama. Kerana itu lebih baik kamu pendekkan cutimu dan pergilah segera mempelajari ilmu fiqah", kata Ummu Habibah al-Uzdiyyah, ibu Imam Syafie.



                                      ******************************************

 "Adakah kamu sedang bermain ataupun mengikuti apa yang saya ajarkan?" tanya Imam Muslim al-Zanji.

"Saya sedang belajar", jawab Imam Syafie.

"Pelajar lain masuk ke dalam kelas menulis pada buku dan kertas. Tetapi saya lihat kamu asyik menggaru tapak tangan kamu", kata Imam Muslim al-Zanji.

"Maafkan saya. Saya menulis apa yang tuan ajar pada tapak tangan saya kerana tidak mampu membeli alat tulis dan kertas", kata Imam Syafie pula.

"Sekiranya begitu, cuba kamu bacakan semula apa yang kamu tulis pada tapak tangan kamu tadi", pinta Imam Muslim al-Zanji.



                                         ******************************************

 "Sekiranya ada orang yang bahagia kerana ilmunya, inilah orangnya", kata Imam Malik sambil menunjuk ke arah Imam Syafie yang duduk disebelahnya.



                                         ******************************************

 "Wahai tuan guru, mengapa tuan masih berdiam diri dengan kaum muktazilah sedangkan mereka mencaci maki tuan di khalayak ramai", kata Jubair, salah seorang murid Imam Syafie.

"Bersikap diam dalam menghadapi orang bodoh ataupun orang gila adalah kebajikan pada jiwa. Dalam sikap diam juga terdapat penjagaan bagi kehormatan. Tidakkah kamu tahu, harimau di hutan itu lebih ditakuti kerana diamnya sedangkan anjing yang menyalak itu dilempar batu", kata Imam Syafie.



                                            ******************************************

 "Wahai guruku, apakah pandangan tuan mengenai bermusafir?", tanya al-Rabi'.

"Pergilah bermusafir dengan penuh keyakinan. Pasti kau memperoleh semula segala apa yang kamu belanjakan. Hidup pasti terasa nikmat selepas kita bekerja keras dan kuat berusaha ketika berada ditempat orang. Tasik yang tenang dan tidak mengalirkan airnya akan membusuk dan menjadi mati. Seekor singa di hutan hanya dapat membaham mangsanya apabila ia keluar dari sarangnya. Anak panah tidak akan mengenai sasaran sekiranya tidak dilepaskan dripada busurnya. 

Sekiranya kamu meninggalkan tempat kelahiran kamu bagi memperoleh keduudukan yang mulia di tempat yang baru, kamu umpama emas yang sudah disepuh lagi tinggi nilainya", jawab Imam Syafie dengan panjang lebar.



                                           ******************************************

 "Perbuatan Fityan dan kawan-kawannya sudah melampau. Tetapi kenapa tuan tidak mahu membalasnya. Cukupkah dengan berdoa sahaja?" tanya Jubair sambil melahirkan rasa tidak puas hatinya.

"Adakah kamu menganggap kecil dan rendah pada sebuah doa? Padahal kamu tidak mengetahui kekuatan doa itu. Tidak ada salahnya kamu berdoa pada waktu siang ataupun ditengah malam. Tetapi renungkanlah, malam memiliki batas yang pasti berakhir tetapi doa itu tiada batas sempadannya.

Janganlah kamu menganggap remeh doa orang yang teraniaya, kerana doanya menembusi orang yang zalim dan para pengikutnya. Doa itu akan masuk ke dalam jiwa mereka bagaikan anak panah yang menembusi tubuh."

                                            ******************************************



* Selamat mendidik jiwa dengan ilmu melalui kisah Imam Syafie :))


* Di dalam buku ini, desertakan sekali 30 pesanan Imam Syafie. Terdapat beberapa yang telah diolah menjadi cerita, antaranya adalah point2 di atas ini :D


* m/s: 260
harga: RM 24/27
penulis: Abdul Latip Talib