Friday 9 September 2011

Logam manusia

Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham. (Sohih Bukhari)


Gilaplah logam yang ada dlm dirimu..
Andai punya karat-karat yang masih bersisa dan berbaki, yg menyelaputi hati.. 

Menyebabkan logammu malap..
Maka bersihkanlah karat-karat itu..
Hingga suatu ketika, logammu bersinar kembali..
Bersinar utk islam, inshaAllah...




Tuesday 16 August 2011

the eleventh hour

Jarang-jarang saya tulis tajuk dulu sebelum tulis isi, dan ini antara yang ditulis dahulu tajuknya kemudian baru tulis isi. Saya rasa ramai je dah habis membaca buku Contengan Jalanan karya Hlovate. Saya akui baru sahaja habis membacanya, itu pun tajuk first iaitu Fend. Tak larat nak baca sebab banyak sangat yang berkaitan dengan muzik, banyak je skip part muzik tu. Dan untuk tajuk kedua iaitu K2, saya tak nak teruskan pembacaan sebab rasa bersalah dengan banyaaaaaaaakkkkkkk lagi buku yang lebih aula seperti al-Quran, buku-buku fikrah dan lecture notes.


Cumanya rasa tertarik dengan konsep keseluruhan tajuk yang first ini iaitu The Eleventh Hour.


A man who decides to change at twelfth hour dies at eleventh hour. Menakutkan bukan? Dan kita selalu menangguh-nangguhkan perubahan diri. Bukan sahaja perubahan fizikal malah perubahan hati. Sedangkan kita tahu perubahan hati itu yang perlu dimulakan dahulu kemudian barulah perubahan fizikal. Kenapa? Kerana hatilah yang menggerakkan sesuatu amalan. Refresh semula Hadith 1 dan Hadith 6. 


Hadith 6:
"....Dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah HATI."


Ramadhan adalah bulan perubahan. Mulakan perubahan itu sekarang juga. Ke arah yang lebih baik, ke arah Islam.


Duduk di rumah berdekatan dengan masijd menyebabkan seruan azan itu lebih terasa dan dekat. Pernah beberapa kali, bila terdengar azan sedangkan kita masih berada dihadapan laptop mahupun sedang baring-baring mahupun di dapur, saat itu juga terfikir, "Kalau aku lambatkan solat ini, entah lepas ini aku hidup lagi atau tidak! Baik pergi ambil wudhu' cepat dan solat." Dan di saat iman tengah lemah, kita melewat-lewatkan solat dan sempat lagi berdoa pada Allah, "Janganlah tarik nyawaku disaat aku tengah lalai."


Oh, takutnya! Tiba saatnya eleventh hour tu kita tak sedar, tak tahu bila, tidak terlambat sesaat mahupun tercepat sesaat. Dan eleventh hour (baca: kematian) itu pasti.


Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni'mat Allah kepadamu ketika dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena ni'mat Allah orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. [Ali Imran: 103]


"dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya."


Dan kita pada waktu tersebut sudah menghampiri eleventh hour, tapi ada lagi tanggungjawab kita yang masihh belum selesai terutamanya tanggungjawab Syahadatul Haq. Dua misi utama kita: Ibadah dan Khalifah! Kemudian Allah menyelamatkan kita. Jadi bersyukur dan bersyukur sebab masih ada lagi masa untuk melakukan perubahan. 


Bagaimana kita mahu mengubah umat Islam jika kita sendiri yang tidak memulakannya dan memaknakannya dalam diri kita?


...Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri... [ar-Ra3du: 11]


p/s: Kita dah masuk 2nd half of Ramadhan..

Sunday 14 August 2011

touch and grow

Saya rasa saya dah mula terjangkit dengan perkataan takween, yang bermaksud pembinaan. Waktu dulu zaman muda-muda dapat tahu tentang tarbiyyah kita adalah membina manusia, tak faham sangat. Tapi bila dah terjebak dengan situasi pembinaan manusia itu sendiri, barulah faham. Sumber manusia yang diperlukan oleh Islam. 


Bung Karno kata, "Berilah aku 100 orang tua, nescaya akan ku cabut Gunung Semeru dari akarnya. Berikan aku 10 pemuda, nescaya akan ku goncang dunia."


(saya suka mengquote kata-kata orang kan? tak pe, asalkan ia berkaitan dgn tajuk)


Malam semalam, bertarawih di Masjid Taal sebabnya dapat jemputan iftar oleh Ustazah Manal di Markaz Quran Ubay bin Kaab, depan dengan masjid tersebut. Selesai iftar, ada pengisian dari Ummu Ibrahim, penceramah bebas. Menarik :)


Selepas solat 4 rakaat tarawih, macam biasa akan ada pengisian dari imam masjid sendiri mahupun jemputan. Dan malam itu, imam (saya rasa la, sbb suara mcm sama dgn suara imam baca quran) Masjid Abdullah Taal bagi pengisian. Dia cakap apa eh? Mula-mula rasa tak nak dengar, kalau nak dengar kena fokus utk faham Bahasa Arab.


Dua tiga kali diulang perkataan takween (pembinaan) dan syakhsiyyah (individu). Aku tertarik. Dengar baik-baik, rupa-rupanya dia sedang memperkatakan sesuatu yang berkaitan dengan Maraatib Amal.




Untuk mentakween (membina) mujtamak (masyarakat) muslim seharusnya bermula dengan takween syakhsiyyah (pembinaan individu) kerana individu adalah komponen masyarakat. Rosak satu individu boleh merosakkan satu masyarakat. Seperti mana kita hendak membina bangunan, komponennya adalah batu-bata. Rosak satu batu-bata, tak mustahil boleh meruntuhkan satu bangunan.  



Syakib Arsalan ketika ditanya tentang usaha menegakkan kembali khilafah Islam berkata,

Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan negara kamu (Palestin). Penulis-penulisnya mencadangkan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun seperti biasa aku akan menjawab:

“Kita WAJIB memulakan usaha Islam ini dari bawah; iaitu melalui TARBIYAH INDIVIDU. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?” *

Kita tak mahu jadi buih kan? Hadith famous ini saya keluarkan semula di sini:


"Hampir dunia mengerumuni ke atas kamu (umat Islam) seperti mana orang-orang yang sedang makan menghadapi makanannya. 


Maka berkata seorang sahabat ra., apakah lantaran sedikit bilangan kita pada hari itu? 


Jawab Rasulullah saw., malah kamu pada hari itu ramai tetapi kamu seperti buih laksana buih banjir. Dan Allah telah mencabut kegerunan daripada dada (hati) musuh-musuh kamu dan mencampakkan ke dalam hati kamu al-Wahn. 


Maka berkata seorang sahabat ra., apakah al-Wahn itu ya Rasulullah? 


Jawab Rasulullah saw.: Cintakan dunia dan takutkan kematian." (HR Abu Dawud)


Ya, mulakan dengan individu (fard) muslim. Kita sentuh manusia dengan fikrah islamiyyah dan kemudian kita didik mereka. Bukannya  selepas kita bagi mereka kefahaman tentang Islam, kita tidak follow-up. Tarbiyyah adalah sesuatu yang "touch and grow", bukannya "touch and go". Takween syakhsiyyah perlukan fokus. 


Wallahu a3lam~


*sumber: al-Muslimun, bilangan 2, m/s 363

Saturday 13 August 2011

Kerana aku sibuk menulis manusia.

Sungguh menyedihkan jika Rasulullah saw bersama-sama kita pada hari ini, melihat bahawa ummatnya hanya mencontohi baginda pada siwak, pada jubah, pada janggut, pada kopiah dan yang eksternal. Sedangkan perjuangan Rasulullah saw membina rijal-rijal seperti Abu Ubaidah al-Jarrah, seperti Mu'az bin Jabal, seperti Saidina Umar tidak diikuti pun. Jadilah Rasulullah sebagai role model pakaian dan fizikal. Adakah itu yang Rasulullah mahukan dari kita?

Dan rijal-rijal yang dibina oleh Rasulullah inilah yang menyambung tugas baginda, menyampaikan Islam, membina ummah, takweenul ummah. Mereka adalah qaedah sulbah, asas yang kukuh kepada umat Islam pada zaman tersebut. Tapi kini, siapakan qaedah sulbah untuk ummat Islam? Siapakah yang mahu membina rijal-rijal dan siapakan rijal-rijal yang akan meneruskan dakwah Rasulullah ini?

Pernah sekali, ketika Saidina Umar dan sahabat-sahabat sedang duduk di dalam sebuah bilik, Saidina Umar bertanya, "Bermimpilah!".

Salah seorang sahabat berkata, "Aku impikan bilik ini dipenuhi dengan harta yang banyak, jadi aku boleh sedekahkannya ke jalan Allah."

Kemudian Saidina Umar berkata lagi, "Bermimpilah!"

Kemudian, seorang lagi sahabat berkata, "Aku impikan bilik ini dipenuhi dengan emas dan permata, jadi aku boleh sedekahkannya ke jalan Allah."

Saidina Umar berkata lagi, "Bermimpilah!"

Sahabat berkata, "Whaia Amirul Mukminin, kami tak tahu apa yang ingin diimpikan lagi. Engkau mahukan bilik ini dipenuhi dengan apa?"

Saidina Umar menjawab, "Aku impikan rumah ini dipenuhi dengan ‘rijal-rijal’ seperti Muaz b. Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Salim hamba Huzaifah untuk aku gunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah, supaya aku boleh hantar mereka ke jalan Allah”

Dan itulah perjuangan Rasulullah dari mula baginda berdakwah sehinggalah baginda wafat. Tidak meninggalkan harta-harta mahupun buku-buku. Seperti mana ISHAB ketika ditanya, "Mengapa anda tidak menulis buku?". Beliau menjawab, "Kerana aku sibuk menulis MANUSIA."

Aku mahu jadi salah satu rijal itu, utk mentakween ummah, bukan hanya penonton yang bertepuk tangan saat Islam sudah berada di atas.

Tugas ini berat, perlukan kesinambungan bukannya membawa sesuatu yang baru.

Allah, semoga engkau thabatkan hati kami di jalan-Mu.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." [12:108]

Saturday 18 June 2011

Kawalan.

Senang juga jika dalam hidup ini kita ada lampu isyarat, cermin pandang belakang, cermin sisi, brek, gear dan pedal minyak visual. Ibaratnya, semua boleh nampak dan boleh dikawal.


Tetapi Allah jadikan semua kawalan dalam kehidupan kita tidak nampak seperti hati, iman dan aqal untuk menguji,


"Siapa di antara kamu yang paling baik amalannya" [al-Mulk: 2].




Ikut RASA binasa, ikut HATI mati, ikut NAFSU lesu. Ada benarnya kata-kata ini.

Manusia Allah kurniakan iman sebagai panduan. Ikutlah IMAN walaupun yang tinggal dalam 
diri hanyalah secebis iman.


***********************************************


Bila kita sudah tidak berada dalam keadaan semua manusia disekeliling berfikir tentang Dakwah dan Tarbiyah, kita yang kena wujudkan ia. Itulah medan amal yang memang kita kena tempuhi.


Semoga Allah thabatkan hati, langkah dan gerakan kita hanya pada jalan-Nya.


With love,
Senggarang.

Tuesday 17 May 2011

Nak tenang?

Semua itu hanyalah ujian "Setinggi mana tahap pergantungan anda terhadap Dia"

Ada orang, bila tengah sakit mahupun terbeban mahupun susah,
Muka nampak macam biasa, tenang je.
Yang ini, dia yakin Allah ada bersama dia selalu.

Tapi ada orang, bila tengah sakit mahupun terbeban mahupun susah,
Mukanya menggambarkan seribu satu kepayahan.
Yang ini, kita namakan 'Transparent'. Kan Rai? (abes tu yang atas tadi kita panggil dia opaque?)
Adakah yang ini, dia tidak yakin Allah bersama-samanya?

Kalau dengan ingat Allah, hati pun tak jadi tenang..
Mungkin kena doa pada Allah supaya dikurniakan hati yang baru, spt kata Imam al-Ghazali..

Yakin..
Allah akan selalu berada di sisi hamba-Nya,
Selagi kita sebagai hamba tidak berpaling daripada-Nya.

Jom kita jadi manusia yang selalu tenang.
Tak tenang maksudnya tak yakin.
Tak yakin maksudnya ada masalah dengan aqidah.
 Yelah, keyakinan terhadap Allah kan maksudnya Aqidah~

*Hah, ambik satu!*


 *************************************************************************

ANDA BANYAK MASALAH? 

Diceritakan bahawa seorang lelaki menghadapi pelbagai masalah yang sangat berat. Hatinya runsing, fikirannya kacau bilau memikirkan jalan penyelesaian yang tak kunjung datang. Pintu-pintu harapan bagaikan tertutup rapat, tidak tahu arah mana hendak dituju, kepada siapa hendak mengadu?

Akhirnya dia membuat keputusan untuk bertemu dengan seorang hakeem (orang bijak pandai), mudah-mudahan dia dapat memberi nasihat berguna dan menunjukkan jalan penyelesaian kepadanya.

Setelah bertemu dengan hakeem tersebut, dia berkata:
- Wahai Hakeem, sesungguhnya aku datang kepadamu untuk mengadu masalah yang aku hadapi, yang membuat aku sangat tertekan, tidak ku temui jalan penyelesaiannya. Maka bantulah aku!

Setelah meneliti wajah lelaki itu, Hakeem berkata:
- Aku ingin bertanya kamu dua soalan. Kamu mesti menjawabnya
- Silakan wahai Hakeem
- Adakah kamu datang ke dunia ini dengan membawa semua masalah-masalah itu brsama dengan kamu?
- Tentunya tidak!
- Adakah kamu akan tinggalkan dunia ini dengan membawa semua masalah-masalah itu bersama dengan kamu?
- Tentunya tidak!
- Perkara yang kamu tidak bawa bersama semasa kamu lahir, dan kamu tidak mahu membawanya bersama ketika kamu mati, maka selayaknya janganlah kamu jadikan masalah ini membenani dirimu. Jadilah kamu seorang yang banyak bersabar dalam menghadapi karenah dunia. Hendaklah pandanganmu ke langit lebih lama daripada pandanganmu ke bumi, nescaya kamu akan perolehi apa yang kamu cari.

Mendengar nasihat itu, lelaki itupun kembali dengan dada yang lapang,fikiran yang tenang dan hati yang girang sambil kata-kata Hakeem diulang-ulang:

Perkara yang kamu tidak bawa bersama semasa datang, dan kamu tidak akan bawa bersama semasa pulang, maka jangan jadikan ia sebagai beban!

Tambahan beberapa bayt syair karya Imam ash-Shafi’ei:

Biarkan hari-hari berbuat apa yang dia mahu
Tenangkan jiwamu apabila telah berlaku apa yang ditentu
Jangan mengeluh lantaran peristiwa yang berlaku pada malam-malam yang lalu
Kerana segala peristiwa di dunia ini tiada yang akan kekal begitu

[copypaste]

*************************************************************************


Ok, cukup2 menembak diri sendiri. Fatrah exam dah nak dekat. Semoga tak lupa dan tak kurangkan ibadah2 khusus :)

Tingkatkan usaha, tingkatkan tawakkal.



p/s: Allergic rhinitis datang semula setelah sepi selama beberapa hari. Allah sedang mengajar aku sabar. Kena prepare tisu takpun masuk toilet berpuluh kali untuk hidung congested ni, pastu nak tidur pun susah, kena tahan 1 jam susah nak nafas sbb nasal congested juga. Mata merah dan gatal. Batuk pun ada. Takpe, orang lain tak dapat sbb Allah tahu aku boleh tahan benda ni sume. Alhamdulillah. Tapi kadang-kadang frust juga dengan allergic macam ni. Allahu musta3an. Doakan.

Wallahu a3lam~

Friday 6 May 2011

Disebalik setiap kata-kataNya.


Tadabbur (merenungi) ayat-ayat Allah.


أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
“Maka tidakkah mereka menghayati al-Quran, ataukah hati mereka sudah terkunci?”[47 : 24]


أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا
“Maka tidakkah mereka menghayati (mendalami) al-Quran? Sekiranya (al-Quran) itu bukan dari Allah, pastilah mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya” [4 : 82]


Jadi, al-Quran diturunkan adalah untuk direnungi dan dihayati, kemudian kita terjemahkannya ke dalam amali iaitu perbuatan kita.

Perkataan dabbara (دَبَّرُ) yang kemudiannya dijamakkan menjadi yatadabbarun (يَتَدَبَّرُونَ) bermaksud di sebalik atau di belakang. Kerana itulah dubur (anus) yang mempunyai kata dasar yang sama dengan kata 'dabbara' berada di belakang badan manusia.

Seperti sebuah Iceberg. Di tengah-tengah lautan, kita boleh nampak satu iceberg yang besar dan tinggi. Tetapi jika kita selami lautan itu, betapa besar dan dalamnya iceberg yang tidak kita nampak jika hanya melihat daripada pandangan atas.


Seruan Allah kepada kita adalah mencari di sebalik setiap ayat-ayatnya. Ada sesuatu yang lebih besar, lebih dalam dan bermakna jika kita selami disebalik setiap ayat-ayatNya. Berbezalah jika kita hanya melihat dan membaca ayat-ayat itu secara surface sahaja, jadi kita tidak sampai kepada mentadabbur ayat-ayatNya.

Lihat kembali kepada Surah Muhammad, ayat 47. Tidakkah kita mentadabbur al-Quran, ataukah hati kita sendiri yang sudah terkunci?

Thursday 5 May 2011

Nak hidup luas.

Adikku,
Di saat kita hanya berfikir untuk hidup bagi diri sendiri,
Terasalah oleh kita bahawa kehidupan ini begitu sempit dan pendek,
Hanya bermula dengan kelahiran kita, dan berakhir dengan kematian,
Berangkat dari pertama kali kita digelarkan di atas bumi, dan kemudian kembali ke bumi lagi.


Tetapi adikku,
Jika hidup kita untuk aqidah dan untuk orang lain,
Maka terasalah hidup ini begitu luas dan panjang,
Ia lahir bersama kemanusiaan, dan tidak akan mati,
walau setelah ruh terlepas dari jasad ini, walau berpisah dengan bumi.


Kita akan merasa bahagia dan puas!
Hakikat umur kita berlipat ganda jauh melebihi jumlah angkanya,
Walaupun pada hitungan tahun, usia kita kecil sahaja,
Itulah kebahagiaan hakiki, bukan kebahagiaan fantasi.


Dalam kehidupan seperti itu,
Tergambarlah keuntungan yang kita perolah sejak awal kelahiran kita
Dari hari ke hari,
Dari masa ke masa,
Dan seluruh umur kita,
Keuntungan itu terasa dalam perasaan kita, pada setiap langkah kita.


Terasa betul bahawa hidup ini,
Bukan sekadar berupa lama nafas ini keluar masuk dari tubuh kita,
Bukan sekadar berapa banyak jumlah angka umur kita,
Tapi hidup ini diukur dan dinilai dari kepuasan rohani yang dapat kita rasakan!


Inilah kenyataan yang dinamakan realiti,
Bukan seperti imaginasinya kaum yang materialistik itu,
Dan inilah hakikat hidup di atas segala hakikat yang mereka perkatakan.


(petikan surat as-Syahid Syed Qutb dari dalam penjara kepada adiknya, Hamidah Qutb)

"Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling bermanfaat bagi manusia lain" 
(HR at-Thabrani)

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.
[6:125]


p/s: semoga antunna tabah di sana. InshaAllah kehidupan antunna di sana lebih luas dan panjang :) 
p/s: hadiaah lagu kat atas tu~

Tuesday 26 April 2011

Sudah terlajak tahu.

Seorang pendaki.

Mendaki gunung yang tinggi.

Puncaknya adalah matlamatnya.

Terasa jauh dan tinggi dan berat, namun digagahkannya atas dasar keyakinan.

Namun,

Semakin tinggi pendakian, semakin terasa sesak dan tak mampu.

Allah...

Bila dipandang di belakang dan di bawahnya, jauh..

Sayup...

Dia sudah terlajak, terlajak mendaki.

Tiada jalan lain melainkan terus mendaki.

Mendaki dan terus mendaki sehingga ke puncaknya.

Sehingga keazaman dapat dibuktikan.

Namun, pada satu saat.

Dia bukan sekadar merasa berat.

Malah yang lebih hebat, dia terasa ditarik kebelakang.

"Jangan, tolong jangan tarik aku ke belakang. Aku mahu ke sana" (Sambil tangannya dituju ke puncak)

"Tinggalkan, pergi dari aku wahai sesuatu di belakang!"

Buang semua karat-karat itu, bersihkan ia dengan.....?

**************************************************

Jahiliyyah dan segala maksiat serta dosa kita akan selalu menghantui kita dalam perjalanan dakwah ini. Sila, sila dan sila tinggalkan mereka semua dibelakang. Tidak mahu mereka yang menarik kita dari terus berlari dan mendaki menuju redha Ilahi.

Jika kamu sedang berada di jalan menuju-Nya, maka pecutlah..
Jika kesusahan menimpa kamu, maka berlarilah..
Jika kamu merasa penat, maka berjalanlah..
Jika kamu tidak mampu untuk melakukan semuanya,
maka bergeraklah juga walau terpaksa merangkak..

Dan janganlah kamu pula berhenti mahupun kembali dalam kejahilan..

Kita sudah terlanjur mengetahui kebenaran, sebarkan ia. Kita bersaksi bahawa Rasulullah telah menyebarkan Islam kepada kita. Nanti, apa agaknya kesaksian manusia selepas kita jika kita tidak menyebarkan agama ini?

وَكَذَ‌ٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ ۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ
[2:143]

Kita umat pertengahan. [Rasululllah --> Kita ---> Manusia seterusnya]

Kita pertengahan dalam satu rantai (rantai perjuangan), menjadi penyambung atau pemutus?


Surah al-Baqarah ada 286 ayat, dan sungguh indah susunan Kalamullah ini apabila berbicara tentang pertengahan, ayat ini juga berada di pertengahan. [286 / 2 = 143]

Wallahu a3lam~

Thursday 14 April 2011

Seruan menyempurnakan iman.

Mungkin dah boleh mula (bagi yang belum mula) fikirkan ttg ummah lebih drpd fikir ttg diri sendiri.

Di sana, muslimah di France sudah mula dilarang memakai purdah. Cuba ambil masa sekejap buka link ini, Hebah Ahmed and Mona Elthaway, both Muslim women, debate France's decision to ban face veils (niqabs) in public.


Di sana juga, rakyat-rakyat Palestin berterus-terusan trauma dan diasak oleh Yahudi. Yang paling terdekat dalam sejarah mereka kini adalah Tragedi Jenin, 3-24 April 2002 (ini bukan kisah Mat Jenin). Ada juga serangan baru-baru ini melibatkan nyawa suci mereka terkorban. Sila, sila dan sila baca blog ini untuk tahu lebih lanjut dan inshaAllah sumber yang sahih kerana beliau sudah lama meninggalkan hatinya di Palestin. Kita bila lagi? [Care to click]

Hmm.

Revolusi yg masih tak selesai-selesai lagi dibeberapa negara Islam. Syria, negara jiran yang paling terdekat. Mungkin sebahagian kita sudah bosan dengan isu ini dan lagi-lagi isu ini, "Bila nak selesai?". Kita merungut tapi kita tak mendoakan mereka pun. ----> Aljazeera Middle East

Bukakan hati kita, kongsikan ia seluas dunia :)

Manusia yang hidup untuk diri sendiri, jiwanya kecil. Sedikit diasak cepat goyah. Walaupun jika dia muslim. Kita renung-renung satu hadith, hadith ke 13 dalam kitab al-Wafi Imam Nawawi,


Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda
bersabda:
Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia
mengasihi dirinya sendiri.
HR al-lmam al-Bukhari dan Muslim.





Tak sempurna iman kita. Sedihnya.

************************************************* 

Saya sendiri mengaku, sejak beberapa hari ini, emosi agak terganggu dengan markah mid exam CNS 2. Lulus alhamdulillah. Allah bagi lebih untuk markah Lab walaupun tidak seperti scorer. Saya memang layak dapat sebegitu. Seminggu sebelum exam banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Tak usah merungut. Fasobrun jameel. Bukan sabar yang biasa-biasa kita hendak, tapi sabar yang cantik adalah dia buang segala rasa yang tak elok terhadap sesuatu perkara.

Minggu itu juga demam beberapa hari, kena turun Mu'tah untuk Miniclinic bla..bla.bla..

Minggu itu juga, menerima dua orang tetamu di bayt tercinta ini. Mula-mula dengar, saya dah rasa tak larat. Saya nak ruang sekejap boleh? Agak tak terurus dan pelajaran pun tak terurus juga. Hah, selebetkan? Hari tetamu itu datang pula adalah turn saya masak. Ok, tak pe, boleh je masak special sket. Masak rendang dan kuah ala-ala lodeh dan nasi. Siap. Lepas habis masak, tetamu masih belum sampai, saya mencari alasan untuk melarikan diri sekejap. Beruzlah. Takpe kalau saya sorang je yang tiada, ada sembilan lagi akan layan tetamu tersebut. Hua, sorilah tetamu. Tak dapat saya layan dengan sehabis baik. Dua hari tak tidur dirumah, tumpang rumah Rahmah (Jzkk ukhtiku sayang!) dengan alasan demam yang tak kebah lagi dan nak belajar. Huhu (=.="). Kepada ahli bayt saya, minta maaf sangat!!!

Ok, teringat hadith 15. Kena tembak sekali. Nasib baik hidup lagi.

Bila mereka dah balik, rasa sedih sangat-sangat sbb tak berukhuwwah dengan sepenuhnya. Mereka dah lah datang dari benua yang lain daripada sini, datang atas tanggungjawab untuk berkongsi perihal tanggungjawab yang besar pula tu. Uhuk

************************************************* 

Pernah sekali, dalam satu minggu itu, saya terpaksa memikirkan satu perkara yang tak pernah terlintas dihati, tapi terpaksa. Kena jadi matang. Bila dah habis selesai, rasa bahagia. Lepas itu, ahli bilik saya yang prihatin tanya,

"Um, macam mana dengan awak. Dah ok ke minggu ini?"
"Hah, alhamdulillah. Dah lepas minggu yang horrible tu."

Ya, saya cakap alhamdulillah tapi masih merungut dengan menggunakan perkataan "horrible" tu. Sayang je pahala kita bersabar. Dikurangkan pahala kerana rungutan. Lepas tu, kenalah tazkirah dengan ahli bilik yang baik tu :P

Sila, sila dan sila luaskan hati kita. Tak nak kat akhirat nanti ada orang tuntut haq mereka daripada kita. Tak nak juga sifat ananiyah dan aku-tidak-peduli dalam diri.

Ini adalah seruan menyempurnakan iman terhadap diri sendiri. Thiqah billah~

Saturday 9 April 2011

Ilmu kita dah berlebihan.

Umat Islam secara generalnya, sudah terlalu banyak ilmu. Dalam masa yang sama, dalam dunia ini, sudah terlalu ramai orang yang berilmu. Tapi mengapa masyarakat dunia (khasnya Muslim) masih belum berubah? (iye je, mana kau tahu?)


Manusia sesat, jauh dari Islam kerana tak belajar ilmu tajwid ke? Sebab tak pergi talaqqi ke? Sebab tak sekolah di sekolah pondok ke? Ke sebab tak hafal al-Quran? Banyak amal yang besar jadi kecil hanya kerana niat dan banyak amal yang kecil jadi besar juga kerana niat.

[2:30] Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.
[51:56] Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Tidak, manusia sesat dan jauh dari Islam sebab tak tahu tujuan hidup. Bagaimana penjajah dahulu, yang telah menjatuhkan Khalifah Islam menyebarkan fikrah mereka dan menyerang pemikiran muslim (ghazwul fikr) supaya muslim jauh dari Islam yang sebenar.


Muslim shouldn't be approached as people often do,
Not by arms, but by words,
Not by force, but by reasons,
Not by hatred, but by love.
[Petrous Venerabilis, pemimpin tentera Salib]

Sebab itu, jadilah Ilmu Tauhid itu ilmu kalam (ilmu yang diperdebatkan), bukannya ilmu yang apabila diketahui, bertambahlah iman seseorang.

Satu fakta, surah Makkiyyah yang banyak menceritakan tetang akidah (baca:fikrah) terdapat 58 surah, manakala surah Madaniyyah yang menceritakan tentang hukum (baca:ilmu) hanay terdapat dalam beberapa belas. Bagaimana dahulu Islam diturunkan untuk membetulkan fikrah manusia, kini cara yang sama digunakan oleh musuh Islam untuk menjauhi Islam daripada umat Islam sendiri, iaitu merosakkan fikrah. Umat Islam tidak dijauhkan daripada ilmu, tetapi dijauhkan daripada fikrah.


Orang bukan Islam, dia lahir ke dunia, kemudian sekolah, bekerja, berkahwin dan mati. Orang Islam, dia lahir ke dunia, kemudian sekolah di sekolah yang bernama Islam, kemudian bekerja di tempat yang tertulis Islam, dan akhirnya mati di kawasan pekuburan Islam. Perbuatan yang sama bukan? Cumanya gelaran tempat yang berbeza.

Hah, gelaran / kata nama VS kata kerja. Saya Ayu dan saya ayu. Siapa pelakunya? Ayu tak semestinya ayu. Tetapi dia yang ayu inshaAllah ayu orangnya. Saya Islam dan saya islam. Berkad pengenalan Islam tapi tiada islam dalam diri. Hmm

"Seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu, pertahankan jiwa kalian" [Tariq Ibn Ziyad]

Kesimpulan, kita kurangnya penghayatan dan kurangnya memikirkan (memfikrahkan) ilmu yang ada sehinggalah ia menyerap dalam diri. Perlu juga selective dalam memilih ilmu (siapa kau nak suruh aku pilih2 ilmu). Kelak kita akan ditanya di akhirat jika ilmu yang banyak itu tak diamalkan.

Siapa yang tak setuju? Aku boleh terima.

p/s: Sesiapa yang nak claim ni ada beberapa ayat atas ini kata-kata dia, silalah claim. Ramai sangat murobbi saya ni, tak ingat sapa yang bgtahu :P
p/s 2: Saya sedang perlahan-lahan menukar tujuan blog ni daripada hobi ke Taarif Centric. Doakanlah ye :)

Friday 8 April 2011

Saya sibuk dan penat la!

'Saya ada banyak benda kena fikir'
'Aku tengah sibuk ni, kau tak nampak ke?'
'Harap ko faham lah ye keadaan aku ni'

Ya, kita sangat sibuk, sibuk memberi alasan. Kita penatkan diri kita dengan mencipta pelbagai alasan dalam kepala. Semoga kita dijauhkan daripada sifat kamu munafiq, iaitu suka memberi alasan. Bila kita cuba nak memberi alasan, kita hanyalah ingin berehat-rehat.


Kita sibuk fikir masalah kita, tapi siapakah yang masalahnya lebih besar daripada penduduk Gaza. Mereka (Gaza) lebih mementingkan diri saudara lain daripada diri mereka sendiri. Subhanallah!


Suara Peduli Palestin

Ahli paramedik Gaza menunggu kelulusan untuk menyertai misi bantuan ke Libya


Selasa , 29/03/2011 - Ahli perubatan Gaza menanti kelulusan Jawatankuasa Utama Ketenteraan yang telah diberikan kuasa di Mesir untuk misi bantuan kemanusiaan bagi memasuki Libya berikutan daripada ketiadaan majoriti staf perubatan kerana mereka telah meninggalkan negara.

16 nama telah dipilih daripada 100 paramedik yang ingin menyertai misi tersebut. Mereka telah bekerjasama dengan Kesatuan Doktor Arab dan akan meneruskan usaha dengan lebih ramai doktor dan lebih banyak peralatan perubatan sewaktu melalui Mesir, demikian menurut setiausaha Kesatuan Paramedik Gaza, Yousef Fahjan.

“Kami sangat memahami kesengsaraan yang dirasai rakyat Libya, memandangkan kami saban hari kami diserang dengan keganasan. Perasaan ini merupakan motivasi terbesar kami untuk membantu rakyat Libya menerusi tanggungjawab kemanusiaan dan professional, terutamanya setelah kebanyakan paramedik telah meninggalkan Libya dan menyebabkan kekurangan paramedik.”

“Inilah sahaja yang mampu kami lakukan untuk membantu rakyat Libya yang telah menyokong kami ketika perang di Gaza. Kebanyakan yang menghubungi kami untuk menaikkan semangat ketika peperangan ialah warga Libya,” Fahjan berkata.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : idawati


When you want to get a job done, give it to the busiest person.

Wallahu a'lam.

Wednesday 6 April 2011

Banyaknya yang kita tak buat.

Oh, kisah ini sudah beberapa hari berlaku, tapi rasa tergerak untuk berkongsi. Perihal keluarga, bukan ingin menunjuk-nunjuk tapi sekadar ingin berkongsi apa yang bermanfaat dari mereka.


Biasalah bila dah nak dekat exam, rasa homesick itu memuncak. Dan akhirnya setelah bertahun-tahun berperasaan begini, saya membuat kesimpulan bahawa rasa homesick dan ingin pulang ke Malaysia ketika fatrah imitihan adalah kerana kita ingin lari dari masalah, masalah imtihan. Tak prepare dan tak bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu menyebabkan kita rasa imtihan itu adalah satu masalah besar dan bestnya jika dapat lari dari masalah itu.

Jadi seperti biasa saya pun telefon ummi. Bila ambil medic ini, kita jadi lebih ambil perhatian terhadap masalah kesihatan keluarga. Ayah saya ada penyakit darah tinggi, inshaAllah metabolic sydrome tu tiada pada ayah saya. Salah satu yg penyebab darah tinggi ini adalah genetic. Alhamdulillah waktu telefon, ummi kata blood pressure ayah dan turun menjadi NORMAL! Subhanallah. Jika tak silap saya sebelum ini ayah punya blood pressure naik hingga ke 160 / tak ingat. Dan sekarang sudah turun ke paras 120/90. Selama yang saya kenal dan kagumi dari ayah saya, dia memang sangat berdisiplin. Saya puji ayah dengan kata,

"Bagusnya patient macam abuya ni :))). Tahniah2 :P".

Ye, saya memanggil ayah saya abuya, jika dalam Bahasa Arab, maksudnya ayah yang disayangi. Pada zaman mudanya dahulu pun, dia menghisap rokok, dan yang memberhentikan dia pada zaman mudanya adalah penglibatan dalam dakwah. Subhanallah. Pernah ummi kata, "Seseorang itu kalau nak berhentikan dia dari buat maksiat atau jahiliyyah ini hanya dengan satu cara, dakwah dan tarbiyyah".

Abuya dengan baju kebangsaan, waktu bekerja pun dgn baju gaya ini. Garang? Ya.
 Ok, lepas itu, saya merungut, penat itu dan ini, nak hafal medic ini semua. Bosanlah..dan macam-macam. Dan setiap kali saya berbuat begitu, ummi tak berhenti-henti menasihatkan,

"Kalau rasa tak kuat, baza banyak kali La Haula Wa La Quwwata Illa Billahi Aliyyul Adzim".

Berzikir memang membuatkan kita rasa tenang kan? Menyerahkan segala amalan kepada Allah, kita tak layak nak merungut dan malas, nikmat Allah terlalu banyak untuk dibazirkan. Berhentilah jadi kufur (lawannya syukur). Ada pula suara latar dalam telefon, "Um! Jangan lupa redha!", si Umar itu lah, siapa lagi.

Dan kisah terakhir, si kucing yang semakin lama semakin keperempuanan sedangkan jantinya lelaki. Kami pula yang pening kepala nak kembalikan dia kepada fitrah. Tikus ada kat depan boleh dibuat tak tahu. Memang nak kena hantar mukhayyam, kasi askari sket! Manusia juga ada yang bersifat begitu, nikmat yang datang bergolek, kita memang susah nak hargai, bila dah tiada baru tercari-cari. Mad'u dah datang kat kita (bukan kita yang cari pula tu!), tapi kita menafikan hak tarbiyyah mereka dan membiarkan mereka terkontang-kanting. Jom kita tadabbur Surah al-Ma'un, ayat 1-3 kejap.


[1] Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?
[2] Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, 
[3] Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

Siapa orang yang mendustakan agama? Orang yang menindas, berlaku zalim kepada anak yatin dan mereka yang tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

Ayat 2: Cuba kita aplikasikan dengan membayangkan anak yatim yang ketiadaan ayah dan kekurangan kasih sayang itu seperti sahabat-sahabat kita yang tidak kenal dan kurang pengetahuannya tentang Islam. Kita yang dah tahu lebih tentang Islam, ada peranannya, 'Orang yang dapat lebih kerana dia ada peranan lebih'. Jika kita tak laksanakan hak mereka, jadilah kita pendusta agama. Takut kan?

Ayat 3: Orang miskin pula? Miskin ada banyak aspek. Salah satunya miskin rohani, selain itu kita ada juga miskin harta, miskin akhlah dll. Tanya diri kita, adakan kita golongan yang menghalang orang lain-lain dan tidak menggalakkan rakan-rakan kita untuk tidak memberi rohani kepada mereka yang miskin rohani ini.

Ini bukan gambar hiasan.

Penuh dengan refleksi. Mungkin kita dah tahu, tapi kita masih tak mampu untuk bergerak ke atas apa yang kita dah tahu. Bukan mudah ingin menyedarkan orang yang tahu bukan? Sedangkan diri kita sendiri, sudah tahu, tapi tidak amalkan. Doa banyak-banyak, semoga Allah permudahkan urusan kita. Jangan risau, inshaAllah Allah permudahkan~

Wallahu a'lam~

Tuesday 29 March 2011

Waktu

Saya selalunya akan update bila exam dah nak dekat. Sebab? Bila nak exam, tempoh berkurung dalam rumah adalah lebih lama berbanding bila tak ada exam, jadi ada masa nak post kat blog. Selebet. Ok, saya tahu.

Bila dah semakin sedar 'al-wajibat aktar min al-awqat', wajib kena susun masa betul-betul supaya muntij. Masa 24 jam pecah untuk apa? Study, DnT, berfoya-foya, urus diri dll. Kena pandai korbankan masa yang mana sbb kadang-kadang kena luangkan masa yang lebih untuk sesuatu yang lebih aula. Takkanlah kerana perlukan waktu yang lebih untuk DnT, waktu study kena korbankan. Tu yang part 'berfoya-foya' sibuk juga nak buat!


Beberapa hari yang lepas kurang sihat. Hari pertama demam tu, ada kelas tajwid kat rumah. Ustazah beria nak ziarah, seganlah juga pada mulanya. Tapi nak buat macam mana, ustazah nak tunaikan hak muslim. Ustazah kata, kalau ziarah orang sakit, cakap "Syafakillah, tuhur inshaAllah". Kenapa 'tuhur'? Sebab Allah bagi kita sakit untuk membersihkan dosa-dosa kita (banyak sgt dosa..huhu), jadi penggunaan kata 'tuhur' itu bermaksud membersihkan.

Ok dah, selamatlah semuanya inshaAllah.

p/s: aaaaaaaaaAAAAAAAAAaaaaaaaaaaaaaaaaAaaaaaaaaaaaaaa! Banyak yang tak buat lagi+yang tertinggal!


Wednesday 2 March 2011

Muslim vs Doktor

Satu soalan:

Seorang pesakit masuk yang baru dikeluarkan dari ambulan masuk ke dalam ER (Emergency Room) dlm keadaan tak sedarkan diri, muka yang berlumuran darah dan dalam keadaan yang tak stabil dan sgt teruk. 

Bila diketahui pesakit tersebut adalah PM Israel iaitu Benjamin Netanyahu, apa yang anda hendak buat? Biarkan sahaja dia mati? Kerana di Palestin sana, hari-hari dia membunuh saudara seakidah kita, hari dia menindas saudara kita. Kita yang berhutang dengan saudara-saudara kita di Palestin sana. Sudah ada peluang di depan mata, nyawa dia ditangan anda (hakikatnya ditangan Allah). Dan jika dia hidup sihat, berkemungkinan besar (tak pun confirm 100%) dia akan kembali ke Palestin, dan kembali menjajah dan menzalimi sahabat kita di sana. 

Nak dijadikan cerita, semua staff and your colleagues beriltizam dengan etika seorang doktor! Ataupun anda seorang yang sangat beretika, beriltizam dengan Hippocratic Oath? Sama seperti rakan sejawat anda yang masih tidak faham lagi tentang isu Palestin. Nyawa seorang pesakit haruslah diselamatkan selagi yang dia mampu, tugas seorang doktor adalah untuk menyihatkan manusia.



Ethics M362 (from doctor's slide):

"The code of medical ethics started to revolve around the tradition that to be a physician means willingness to take risk for the benefit of the patient."

What comes first in your life? Being a doctor or a muslim? 

Jika mengikut fatwa Yusuf Qardawi, darah Gaddafi halal, ini pula Benjamin Netanyahu?


  
************************************************

Sudah tamat sesi soal jawab. Rasanya masing-masing dah ada jawapan dalam diri. Hari Ahad ini, saya dan sahabat sebatch akan menduduki imtihan Central Nervous System I. Doakan kami. Bittaufiq semua. Nah amek ni:



Wallahu a3lam bissawab.

Sunday 27 February 2011

Tarkiz!

Malam itu dia mendengar 'lecture' Ya Ayyuha Syabab, risalah yang paling digemarinya. Sambil tersenyum-senyum dengan lawak beliau, dia tersentak pada satu minit, "Jika kita tidak menambah sesuatu kepada dunia, kita hanyalah barang lebihan daripada dunia, barang lebihan yang sepatutnya atau lebih layak dibuang daripada disimpan. Hanya menyusahkan TNB, memeningkan kepada Jabatan Air lebih-lebih lagi di Jordan, membazir beras, menyempitkan ruang dan berbagai-bagai lagi bebanan."

Menggigil sebentar, apa yang telah dia sumbangkan untuk dunia, khususnya dunia Islam? Orang kata, sumbanglah walaupun sedikit, walau di mana jua lebih-lebih lagi dalam bidang yang anda ceburi. Fikirlah sesuatu untuk ummat Islam, dia tidak mahu hanya menjadi si penyaksi, dia mahu menjadi si penyumbang. Jika hidupnya untuk diri sendiri, lebih layak untuknay tidak duduk di atas bumi ini. Mereka yang lain juga tidak memerlukannya.

Si 'mayyit' itu langsung tidak berbuat apa-apa,
Melihat tidak, mendengar tidak, bercakap tidak,
Bergerak apatah lagi,
Tinggal jasadnya terbaring di satu sudut dunia.

Si 'syibih mayyit' itu pula nyawa-nyawa ikan,
Berada di dua alam,
Perlu ada yang mengangkat jika ingin bergerak,
Entah hidup, entah mati.

Si 'mutaharrik' pula kerap mendengar dan melihat,
Diketuk bergeraklah  dia,
Didiamkan pula kembali melihat dan mendengar,
Namun masih menyumbang untuk menjadi penyokong.

Si 'muharrik' itu yang kita perlukan,
Dia bergerak mengejutkan mereka yang mati hati lantas akalnya,
Ke arah melaksanakan tujuan hidup mencapai ahdaf,
Bergerak bersama tentera-tentera yang lain.

Dia yang mana satu agaknya. Ah sudahlah berkata-kata mahupun menulis, mula beramal!

Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah. [ISHAB]

           **********************************************************************


Imtihan dah nak dekat, less than a week. Sila tarkiz (fokus). Aha, ayat berbelit. Bukan bermaksud belajar untuk exam, tapi exam untuk memperbaiki mana-mana kelemahan dalam ilmu. Tarbiyyah bil ahdaf, study juga perlu matlamat dan target bukan?


Allahu yuftah alaina, Ameeennn :))

Bilik Hanin,
Bayt Muriyaat.

Sunday 30 January 2011

Sunnatullah

Kita dahulu mempunyai empayar Islam yang besar, 2/3 dunia yang mana tiada sempadan dengan mana-mana kerjaan mahupun daulah. Sempadan mereka adalah aqidah. Jika sama aqidah, maka tanah itu adalah milik mereka juga. Sehinggalah pada ketika, rakyat-rakyat dihasut untuk menggulingkan empayar, membebaskan diri dari satu khalifah yang menyatukan umat Islam suatu ketika dahulu. Dan akhirnya mereka berjaya menentang pemimpin mereka.


Kini, tiada lagi empayat, yang tinggal hanyalah negara-negara yang dipisahka atas satu garisan lurus walaupun satu aqidah. Dan rakyat kembali menentang pemimpin mereka, bukan kerana hasutan tetapi kerana ke'sensistif'an mereka terhadap pimpinan yang zalim, pemerintah kuku besi hampir 30 tahun. Yang kaya menjadi semakin kaya, dan yang miskin menjadi semakin miskin.


Sunnatullah, sejarah itu berulang. 


Teringat bagaimana panglima-panglima tentera Islam hendak mengatur strategi ketika dalam peperangan. Mereka pastinya mengambil kira bagaimana strategi panglima-panglima terdahulu berjaya di medan pertempuran. 


Sesuatu peristiwa itu akan terus berlalu pergi meninggalkan kita, dan tugas mudah kita adalah mengambil iktibar daripadanya.


Benarlah kata-kata seorang pemimpin, "Sesiapa yang tidak tahu sejarah pasti akan mengulanginya"

...dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu. [47:38]

Rindu bumi Amr Al-As itu. Lokasi: Masjid Amr Al-As.

p/s: Alhamdulillah pulang dengan selamatnya dari Mesir pada 28hb Jan hari itu. Alhamdulillah alassalamah. Doakan sahabat-sahabat kita di Mesir, sama ada yang menetap di sana mahupun yang sedang bermusafir di sana mahupun yang transit di lapangan terbangnya dan tidak dibenarkan keluar. Allahu ma'akum inshaAllah.


Bilik Mujahidah,
Bayt Muriyaat.

Friday 14 January 2011

Kuat

Saya suka kata-kata ini:

Dengan itu, setiap pekerja yang ikhlas dari anda yang bekerja di jalan Islam akan mendapati balasan yang memuaskan cita-cita nuraninya dan setimpal dengan masanya, jika ia benar-benar termasuk ke dalam golongan pejuang-pejuang tulin.

Akan tetapi sebaliknya, jika anda enggan dan terus menerus berdolak-dalik dan teragak-agak, atau masih mencari-cari antara perjuangan bukan Islam sebenar yang telah ternyata gagal, maka ketahuilah bahawa batalion tentera Allah akan terus mara tanpa menghiraukan sama ada sedikit atau ramai dengan penuh yakin kepada firman Allah (Al-Imran:126):

وما النصر الا من عند الله العزيز الحكيم

Kemenangan itu hanyalah dari Allah Maha Gagah lagi Bijaksana.

[Risalah Wahai Pemuda, ISHAB]

Selalu teringat kata-kata ini disaat hampir futur. 

Mempunyai medan amal yang telah ditaklifkan jauh beratus kilo meter sana membuatkan saya pada awalnya bersemangat. Semangat pemudalah katakan. Pemuda itu sifatnya empat: Iman, Amal, Ikhlas dan Hammasah (semangat). Tetapi bila bertambah tanggungjawab di sana dan di sini, dengan iman yang kejap naik dan turun dan dengan pelajaran lagi, semangat itu semakin pudar. Kepada Dia jugalah saya mengharap supaya dithabatkan atas jalan-Nya.

Baru pulang dari medan amal yang telah ditaklifkan sebentar tadi, respon baik mereka di sana mengembalikan semangat saya. Maaf adik, bukan niat kakakmu ingin menafikan hak tarbiyyah kamu. Semoga kamu Allah jaga di sana. Allah jualah pemegang hati-hati.


Solun,
Bayt KK.