Kita semua percaya bahawa kita adalah umat yang hebat, yang mempunyai sejarah dan tamadun yang hebat. Kita sudah tahu kehebatan Solahuddin al-Ayyubi membuka kota Palestin, kita sudah baca kisah Sultan Muhammad al-Fatih menyebarkan Islam di kota Constantinople, kita sudah dengar ketangkasan Saidina Khalid al-Walid dalam beberapa siri peperangan menentang tentera Rom dan kita juga sudah menjadi tetamu makam-makam para sahabat yang darjatnya tinggi di sisi Allah. Apatah lagi kita-kita yang bermusafir di bumi anbiya’, Jordan ini. Cuba kamu beritahu saya berapa banyak makam para nabi dan para sahabat di bumi Jordan ini. Antaranya ialah makam Nabi syu’aib, Nabi Musa, Nabi Lut, Saidina Ikramah bin Abu Jahal, Saidina Mu’adz bin Jabal, Saidina ‘Amir bin Abi Waqas, Saidina Abu Ubaidah bin Jarrah, Saidina Dhirar bin Azwar dan Saidina Syurhabil bin Hasanah. Sedarkah kita bahawa kita sedang berpijak di atas bekas jejak kaki mereka-mereka yang hebat pada zaman mereka? Bagaimana pula dengan kita?
Sekarang, mari kita tanya kepada diri kita sendiri, apakah keadaan Ummah kita sekarang? Apakah diagnosis yang sewajarnya diberikan oleh seorang doktor buat pesakitnya yang kian tenat? Adakah kita yang bernama muslim mempunyai nilai dalam organisasi antarabangsa? Berjayakah kita sebagai orang Islam untuk menyatakan hak-hak kita? Dapatkah kita mempertahankan tanah dan maruah kita? Apakah yang sedang berlaku terhadap orang Islam di Palestin, China, Thailand dan seluruh dunia? Mengapakah semua ini berlaku?
Itu hanyalah beberapa soalan yang perlu kita tanya dan jawab oleh diri kita sendiri untuk menggambarkan apakah keadaan umat kita sekarang. Perubahan itu penting, dan diri kita sendirilah yang memainkan peranan penting untuk melakukan perubahan itu. Inilah masanya, kita sebagai muslim untuk menjadi pemimpin kepada perubahan kerana kekuatan untuk berubah itu terdapat dalam diri setiap individu muslim itu. Be proactive!
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. [13,11]
Untuk berubah itu, kita perlu tahu apa punca masalah-masalah yang berlaku. Yang pertamanya, tentulah lemahnya iman. Umat kita kini telah dijangkiti penyakit Wahn. Penyakit yang dinamakan “silent killer” ini adalah cintakan dunia dan takutkan mati. Kita boleh lihat sendiri apabila kebanyakan umat Islam lebih mementingkan barangan-barangan yang patut diboikot, menyalurkan duit tersebut untuk dijadikan peluru-peluru dan bom-bom Israel sekaligus membunuh saudara seakidah kita. Dimana nilai ukhuwwah kita? Kita juga boleh ambil pengajaran daripada penutupan pintu masuk Rafah Mesir-Palestin yang menyebabkan bekalan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan kewangan untuk saudara kita di Palestin disekat. Ikatan ukhuwwwah itu semakin lemah manakala assabiyah dan fanaticism semakin memenuhi setiap ruangan hati-hati kita.
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;
"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit Wahn. Seorang sahabat bertanya, "Apakah Wahn itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
H.R. Abu Daud
Punca yang kedua pula adalah Jahl atau sikap “aku tidak pedulisme”. Sikap ini menjadi semakin parah apabila kita tidak sedar bahawa diri kita sendiri mempunyai sikap “aku tidak pedulisme” itu di atas sebab kita sendiri yang malas menuntut ilmu dan membaca. Sheikh Yusuf al-Qardhawi sendiri pernah mengatakan bahawa, “Kita kaum Iqra (merujuk kepada wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah S.A.W), tetapi kita tidak membaca..!”. Lebih memalukan apabila Moshe Dayan, bekas Menteri Pertahanan Israel mengeluarkan kenyataan berbunyi, “Umat Islam kini mempunyai tiga kelemahan utama iaitu mereka tidak mempunyai perancangan yang teliti, mereka tidak mengkaji sejarah dan mereka kaum yang malas membaca!”.
Kemudian Moshe Dayan telah dikecam oleh orangnya sendiri kerana memecahkan rahsia tersebut. Mereka takut sekiranya umat Islam bangkit kembali apabila mengetahui kelemahan-kelemahan mereka. Kemudian, dengan mudahnya Moshe Dayan menjawab, “Kita (Zionis) tidak perlu merasa takut walaupun sedikit terhadap orang Islam. Kerana mereka tidak akan tahu kenyataan tersebut kerana mereka tidak membaca. Sekalipun mereka membaca, mereka tidak akan faham dan sekalipun mereka faham, mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu!”. Inilah dia kenyataan daripada musuh terbesar umat Islam. Kita perlu perlu mengambil pengajaran daripada kenyataan ini kerana hanya musuh yang mengenali diri kita secara terperinci berbanding sahabat kerana musuh memang selalu memerhatikan kita, umat Islam. Jika kenyataan ini salah, anggap sahajalah kenyataan ini adalah galakan saya kepada semua supaya rajin membaca dan menuntut ilmu.
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). [96,1]
Jadi, sebagai galakan kepada diri semua, kita ini adalah umat Islam. Umat yang berasal daripada Rasulullah S.A.W, Khalilullah, kekasih Allah. Agama Islam pula adalah agama yang berada di sisi Allah, agama yang dijanjikan kemenangannya nanti. Marilah kita sama-sama berkerja supaya diri-diri kita ini menjadi salah satu penyumbang kebangkitan Islam. Sebelum tidur, eloklah kita bertanya kepada diri kita, “Apa telah aku lakukan hari ini untuk membantu umat Islam?”. Sekali lagi saya ulang, “Nahnu qaumun iqra, lakinnu nahnu la naqra..!”.
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya. [3:19]
Begitulah serba sedikit kisah daripada saya, semoga dapat sesuatu daripada kisah ini.
Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan baik. [18:30]Wallahu a'lam bissawab...
p/s : Sesungguhnya, si penulis ini lebih dekat dengan apa yang ditulis, jadi si penulis amat takut untuk dipertanggungjawabkan kelak. Sama-samalah kita saling mengingati dengan kebenaran dan kesabaran.
No comments:
Post a Comment